Hidayah yang aku tulis ini bukanlah Miss ko-ordinator (miss ko-o) or siapa-siapa pun. Tapi hidayah ini adalah sebuah kasih daripada Allah kepada hambanya yang dipilih. Ianya adalah suatu yang harganya tidak ternilai dan sentiasa menjadi pengharapan oleh setiap insan. Allah membimbing hamba-hambanya melalui talian hidayah yang mana hanya insan yang dipilihnya sahaja akan diberi pimpinan. Kadang kita terleka akan tuntutan janji yang telah dibuat tatkala ruh ditiupkan ke dalam jasad, maka Allah menghantar kasihnya berupa sebuah hidayah melalui pelbagai cara yang menjadi asbab.
Sebagai contoh, Allah mengambil sesuatu yang pernah kita miliki sebagai tanda peringatan bahawa kita adalah bersifat makhluk. Apakah sifat makhluk? Makhluk itu bersifat FANA. Tidak kekal. Secara tidak langsung Allah membawa fikiran kita kepada keagungan-Nya. Lantas kita menadah tangan memohon keampunan atas kelalaian itu. Begitulah kuasa-Nya.
Di sudut yang lain pula, Allah menambah nikmat kepada hamba-hambanya yang lain sebagai hadiah dan hidayah. Apabila diberikan nikmat, manusia ini ingatannya kembali semula kepada keesaan Allah lantas menadah tangan mengucapkan kesyukuran dan seterusnya memohohon keampunan atas dosa-dosa yang lampau. Allah membuka hati hambanya melalui nikmat yang dikurniakan. Sungguh Allah berkuasa ke atas tiap sesuatu.
Hidayah itu pula dilimpahkan kedalam seketul daging yang dinamakan hati. Di sinilah bermulanya tindak tanduk manusia ke arah kebaikan atau kejahatan. Andainya hati itu terdidik dengan mahmudah, maka kebaikanlah jalan pilihan. Begitu pula sebaliknya. Bagi mereka yang memilih jalan gelap, mereka diburu kegelisahan luaran dan dalaman. kerana fitrah manusia itu adalah suci. Hati manusia sekeras mana, sebusuk mana, masih mempunyai sekeping nurani yang mampu membawa kepada kebaikan. Namun sejauh mana ketahanan hati manusia pada kebenaran mampu bertahan. Seringkali didodoi dengan ungkapan "anjing yang biasa makan bangkai, tak dapat makan, bau pun jadilah" yang membunuh keyakinan hati untuk terus bermujahadah.
Dalam konteks artikel ini, sengaja nak mengungkap manusia-manusia yang suka memperlekehkan insan lain terutama apabila melihat perubahan drastik ke arah positif. Suka atau tidak, inilah realiti yang perlu ditelan oleh seluruh umat. Yang lebih menjengkelkan lagi apabila hinaan itu meniti dari lidah mereka yang mengaku Islam. WTF?? maksud aku, apa yang seronoknya? Kelakar sungguh ke mereka yang bertudung labuh? Hinakah mereka kerana tak memakai seluar yang berlubang-lubang? Kolotkah mereka jika tidak mendedahkan dada atau pusat? Apa mereka itu tiada pedoman hidup? Terjahan pertanyaan bermain di mindaku yang lemah ini.
Mungkin darah Islam yang mengalir dalam tubuh tak segemilang Umar Al-Khattab - Asadullah. Andai darah Umar mengalir dalam tubuh ku, mungkin aku bertindak memenggal mereka itu. Alangkah kecilnya jiwa Islam ini. Hanya doa yang mampu iringi mujahadah diri dan mereka yang mahu mengharap hidayah Allah.
Lantang terdengar di sana sini mengungkap Islam sebagai pemusnah, Islam menolak kemajuan, Islam terrorist dan sebagainya. Apakah tiada suatu yang mampu bangkit menentang tohmahan keji itu? Kaku tingkah, bahkan bersorak bagai Pak Pandir. Inikah Islam yang dijanjikan di akhir zaman? Melontar cacian kepada Islam, sekaligus menghina Allah. Layakkah mengaku Islam. Sungguh agung kuasa Allah menarik hidayah dari hati hambanya. Nau'zubillah.
Oleh kerana hidayah Allah itu bukan suatu yang boleh dijual beli, maka sebagai hambanya, kita mesti berusaha mendapatkannya. Hidayah Allah itu beserta dengan redha-Nya. Jika diri kita sebagai umat Islam mementingkan redha dari makhluk, nah.. redha Allah itu, jauh dari kita. Semoga kita dapat memperkukuhkan amalan dan diterima oleh-Nya. Insya-Allah.





